Kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad

Kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad

Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia). Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia. Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.

Dasar Penswastaan Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik. Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini. Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.

Kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad

Kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengurus ‘perniagaan’ sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan. Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan. Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi ‘CEO’ Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.

Projek-Projek Yang Berjaya Pada Zaman Tun Dr Mahathir Mohamad

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali